Syarikat Kerjasama Serbaguna Berhad (Koperasi) Pendaftaran syarikat di Malaysia

Takrifan

Pembangunan Syarikat Kerjasama Berhad di Malaysia adalah di bawah kawalan Pendaftar Koperasi Malaysia. Jabatan Koperasi, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Sesuatu kumpulan bolehlah memohon kepada pihak Pendaftar Koperasi tersebut untuk mendaftarkan sesebuah syarikat kerjasama serbaguna berhad. Apabila ditubuhkan, koperasi ini akan mempunyai sifat-sifat yang sama seperti syarikat awam berhad.

Syarikat kerjasama adalah sesuai untuk satu golongan Masyarakat yang mempunyai pekerjaan dan keperluan yang sama seperti nelayan, petani, guru dan pekerja-pekerja kilang. Mereka ini tidak perlu modal besar tetapi yang utamanya ialah bilangan ramai iaitu lebih daripada 100 orang ahli. Ahli-ahli mengeluarkan modal dengan cara caruman pada tiap-tiap bulan atau pada tiap-tiap kali mereka menerima pendapatan.

Liabiliti

Liabiliti yang dikenakan keatas ahli-ahli adalah terhad kepada modal yang dilaburkan ke dalam syarikat. Sekiranya syarikat ini bankrap, ahli-ahli akan kehilangan modal yang dilaburkan itu. Mengikut prinsip kerjasama apa yang diutamakan ialah keperluan bersama di antara ahli-ahli syarikat tersebut. Misalnya nelayan-nelayan memerlukan air batu untuk menyimpan bekalan barang-barang dengan harta yang berpatutan. Oleh itu, mereka bolehlah menubuhkan syarikat kerjasama untuk keperluan mereka dan membuka keahliannya kepada semua pihak menjadi pelanggan di kedai di kawasan mereka.

Dividen dan keuntungan syarikat

Oleh sebab perkara kepentingan bersama ini diutamakan maka di dalam undang-undang syarikat kerjasama lazimnya terdapatlah undang-undang bahawa pembahagian laba (dividen) itu dihadkan tidak lebih daripada 10% pada tiap-tiap tahun. Sebaliknya keuntungan syarikat tersebut akan digunakan untuk kebajikan ahli-ahli dengan cara lain umpamanya dengan memberi biasiswa kepada anak ahli-ahli syarikat tersebut.

Liabiliti syarikat

Syarikat kerjasama dikecualikan daripada bayaran cukai jika syarikat tersebut mematuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh undang-undang ini adalah hak istimewa yang menjadikan syarikat kerjasama ini lebih menarik daripada syarikat awam atau syarikat sendirian berhad. Jadi bagi mereka yang tidak mempunyai banyak modal dan tidak berhadapan kepada pembahagian laba di dalam satu-satu perniagaan itu, syarikat kerjasama lah yang sesuai dimasuki.

Pendaftaran

Bayaran bagi mendaftarkan syarikat kerjasama ini adalah kecil. Bolehlah dikatakan bahawa perbelanjaannya banyak untuk bayaran mencetak undang-undang kecilnya (bye-law) sahaja.

Hak milik

Seseorang ahli syarikat kerjasama mempunyai satu undi sahaja di dalam mesyuarat agong syarikat tersebut. Walaupun ia mempunyai lebih banyak modal daripada yang lain-lainnya.

Ini adalah sangat berbeza dengan syarikat awam atau syarikat sendirian berhad kerana di dalam syarikat-syarikat ini, bilangan undi yang dipunyai oleh seseorang ahli tertakluk kepada bilangan saham yang dimilikinya.

Kelebihan

  1. Mudah untuk ditubuhkan
  2. Bayaran Pendaftaran yang kecil
  3. Liabiliti ahli-ahli terhad kepada modal yang dilaburkan
  4. Bergerak atas prinsip keperluan dan kebaikan serta kepentingan bersama
  5. Dikecualikan daripada bayaran cukai dengan syarat ia mematuhi perundangan yang telah ditentukan
  6. Modal yang diperlukan ialah secara caruman daripada ahli dengan itu mudah diperolehi

Kekurangan

  1. Pembahagian dividen dihadkan tidak lebih daripada 10% setahun
  2. Tiap-tiap ahli berhak untuk satu undi sahaja, tidak jumlah modal yang dilaburkan
  3. Hanya boleh ditubuhkan dengan bilangan ahli lebih 100 orang